Iblis bersumpah yang dia akan menyerang Nabi Adam AS dan zuriatnya daripada depan, belakang, kanan dan kiri.
Apakah maksud arah-arah tersebut?
1) DEPAN
Iblis dan syaitan akan memberikan harapan-harapan palsu untuk mendorong kita melakukan dosa. Ada juga menjelaskan bahawa syaitan akan menakut-nakutkan anak-anak Nabi Adam AS tentang masa hadapan apabila mereka ingin melakukan amal soleh. Contohnya, syaitan meletakkan rasa kewangan tidak mencukupi apabila kita bersedekah.
2) BELAKANG
Menghantui hidup kita dengan dosa-dosa lampau yang mungkin kita tidak mampu beroleh kebaikan kerananya dan melemaskan kita dengan kisah silam tersebut. Syaitan tidak mahu kita menyambut cahaya harapan dan bergerak ke hadapan bagi melakukan perubahan.
3) KANAN
Syaitan berusaha merosakkan amalan anak Nabi Adam AS dengan menghilangkan keikhlasan dalam berbuat amal soleh kerana mengharapkan pujian dan habuan dunia. Pada zahirnya orang nampak apa yang kita kerjakan sangat baik, hakikatnya syaitan racuni amal-amal baik sehingga ia menjadi sia-sia.
4) KIRI
Syaitan mengheret anak Nabi Adam AS ke lembah hitam, keasyikan dunia serta mengajak untuk melaksanakan segala larangan dan perbuatan maksiat yang ditegah Allah SWT sehinggakan mereka menjadikan kemaksiatan sebagai gaya hidup.
........................
Syaitan tidak akan pernah berhenti dan berputus asa dalam menyesatkan kita dengan tipu dayanya yang dihiasi dan dipercantikkan sehingga kita jatuh ke dalamnya.
Setiap kali kita berada di persimpangan untuk melakukan dosa dengan sengaja, bayangkan syaitan sedang berdiri di sisi sambil melambai-lambai tiket ke neraka.
Jadi, sentiasalah melengkapkan diri kita dengan ilmu dan taqwa sebagai perisai menghadapi mereka.
Tak kira sebesar apa pun kesalahan yang pernah kita lakukan, kembalilah kepada Allah dan sentiasalah meminta keampunan daripada-Nya.
Source: Buku "Nabi Adam AS: Keampunan Allah ada untuk kita yang mencari." daripada Azlan Shah Nabees Khan
Comments