Pada Disember 2021, negara kita telah diuji dengan banjir besar di beberapa buah negeri iaitu Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Selangor dan Pahang merupakan antara negeri yang paling terjejas. Dianggarkan kira-kira lebih 61,000 mangsa yang terkesan dengan banjir. Beberapa daerah seperti Hulu Langat, Shah Alam, Klang, Kuala Langat di Selangor dan Mentakab, Karak, Bentong di Pahang telah dilanda banjir di luar jangkaan.
Secara umumnya, banjir dapat diklasifikasikan sebagai bencana alam. Takrifan bagi bencana alam adalah sesuatu peristiwa yang disebabkan oleh alam seperti gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, banjir, kemarau, dan tanah runtuh. Peristiwa ini mengancam dan mengganggu kehidupan yang boleh mengakibatkan kematian, kemusnahan alam sekitar, dan kerugian harta benda.
Dari sudut pandang Islam sendiri, fenomena bencana alam ditafsirkan sebagai fenomena alam yang Allah timpakan kepada umat manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam mengikut kemahuan mutlak Allah. Dalam hubungan ini, kita harus melihat bencana alam sebagai suatu kekuasaan dan keagungan Allah. Selain itu, ia juga boleh ditafsirkan sebagai cara Allah memberi peringatan kepada hambaNya yang bergelumang dengan dosa dan maksiat. Tidak hairanlah sekiranya malapetaka berlaku di negara yang bukan Islam. Sebagai orang Islam, kita menganggap ia sebagai musibah yang menguji tahap keimanan dan kesabarannya dalam menghadapi bencana seumpama itu.
Selain itu,antara langkah untuk mencegah dan menangani perkara ini adalah manusia perlu mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Antara contoh sifat bertanggungjawab itu adalah dengan tidak membuang sampah merata-rata yang boleh menyebabkan longkang atau aliran air tersumbat. Perkara ini akan mendatangkan masalah yang lebih besar. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila longkang atau aliran air tersumbat ianya akan menyebabkan paras air takungan naik ke paras yang berbahaya. Dengan ini banjir kilat mudah berlaku. Seterusnya, pembalakan haram juga boleh menyumbang kepada terjadinya bencana alam. Pembalakan yang tidak terkawal akan menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan di dasar sungai. Hal ini akan menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat, sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu ia melimpah ke kawasan sekitar. Oleh itu, sifat bertanggungjawab itu perlu disemai dalam diri setiap manusia supaya alam ini dapat dijaga dengan baik. Sesungguhnya dalam surah Ar Rum ayat 41, iaitu telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Akhir sekali, semua pihak perlu berganding bahu dalam mengatasi masalah tersebut. Sekiranya semua pihak memainkan peranan sendiri masalah-masalah sebegini mampu diatasi dengan mudah. Maka sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab, kita perlulah sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan melaporkan sekiranya terdapat individu yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab .Bukan itu sahaja, kita juga perlulah sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Bencana alam bukanlah suatu perkara yang remeh, sekali terleka nyawa bakal tergadai.
Comments