top of page
ZAHIN

Institusi Raja Bukan Sekadar ‘Simbol’


Dengan lafaz Bismillah, saya akan berkongsi dengan pembaca hasil penulisan saya setelah diberi peluang ini. Walaupun perkara yang akan dibincangkan bukanlah kepakaran saya, namun sebagai seorang yang patriot saya terpanggil untuk berkongsi tentang isu ini. Isu ini bukanlah terlalu ‘kuno’ atau terlalu baru untuk dibincangkan. Kita melihat dari masa ke masa, makin ramai yang mencabar kepentingan institusi Raja dalam negara malah lebih menyedihkan sebahagian mereka merupakan mahasiswa daripada Universiti Malaya (UM) sendiri. Oleh itu, perkara ini merupakan tanggungjawab kita sesama masyarakat dan mahasiswa untuk saling memperingati akan kepentingan memelihara institusi ini.


Umum mengetahui bahawa negara kita Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong(SPB YDPA) yang dilantik daripada sembilan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara di bawah Raja Berperlembagaan. Kita perlu tahu bahwa Yang Di-Pertuan Agong bukanlah sekadar ‘simbol’ dan hanya berperanan dalam adat istiadat dan agama Islam sahaja. Sesungguhnya, baginda mempunyai kuasa budi bicara yang diperuntukkan dalam perlembagaan seperti kuasa membubarkan parlimen, melantik perdana menteri dan mengisytiharkan darurat di mana kuasa-kuasa ini bukanlah hal yang remeh dalam sesebuah negara. Oleh itu, pernyataan individu tertentu menyatakan ketidakpentingan institusi raja dalam perundangan negara adalah tidak benar.


Bertitik tolak dari hal ini, Yang Di-Pertuan Agong juga berperanan sebagai simbol perpaduan dalam menjaga kestabilan dalam negara demokrasi berparlimen ini. Yang Di-Pertuan Agong akan memainkan peranan sebagai penimbang tara dengan kuasa baginda untuk melantik individu tertentu yang pada pertimbangan baginda mendapat sokongan majoriti atau menitahkan supaya pemimpin blok parlimen menubuhkan kerajaan perpaduan. Kita telah melihat setelah Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan, Yang Di-Pertuan Agong telah menjadi penimbang tara dalam kalangan parti yang masing-masing menyatakan mempunyai majoriti parlimen. Berkat sistem ini, kita tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menubuhkan kerajaan baharu, jika tanpa baginda kita juga kemungkinan hadapi nasib yang sama seperti Belgium yang gagal membentuk kerajaan lebih 1 tahun pada tahun 2010-2011. Inilah merit negara demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan bahawa raja mempunyai keabsahan dan prestij sebagai simbol perpaduan berbanding negara demokrasi berparlimen tanpa raja berperlembagaan.


Turut diambil kira, raja berperlembagaan amatlah relevan dengan negara kita pada masa ini.Terdapat dakwaan individu mengatakan sistem raja adalah ‘kuno’ dan tidak relevan dengan dunia moden yang majoriti negara dunia amalkan kerajaan republik. Namun, hendaklah kita ketahui kerelevenan sesuatu sistem bukan dinilai melalui ‘kuno’ dan ‘moden’ sebaliknya adakah sistem itu dapat memenuhi matlamat dan keperluan masyarakat semasa dan tidak boleh dinafikan republik juga sistem ‘kuno’ yang diamalkan Rom ketika dahulu. Hal ini bersesuaian dengan taburan penduduk di negara kita yang pelbagai kaum boleh memica pelbagai rusuhan. Namun, dengan berkat raja berperlembagaan hal-hal berbaur rusuhan kaum dapat dibendung dan diselesaikan dengan baik dengan sejarah lebih 60 tahun negara kita wujud hanya sekali peristiwa rusuhan kaum berdarah telah berlaku. Malah negara yang digelar ‘syurga atau dunia’ seperti Sweden juga mengamalkan pentadbiran raja Berperlembagaan. Inilah kesinambungan pentadbiran raja berperlembagaan dengan masyarakat multietnik di negara kesayangan kita.


Sebelum menyimpulkan penulisan ini, saya menyeru kepada semua masyarakat dan mahasiswa Malaysia khususnya kepada para pembaca, bersamalah kita menghormati,memahami dan memelihara kepentingan institusi raja dalam negara kita. Sesungguhnya, bahawa pernyataan yang digembar-gembur oleh individu tertentu akan keburukan pentadbiran raja berperlembagaan dan mengatakan institusi raja hanyalah ‘simbol’ adalah sangkaan buruk dan patut dihindari. Kita sebagai mahasiswa bakal penerus dan penentu hala tuju negara pada masa akan datang mestilah memastikan kesinambungan ini tetap diteruskan demi kepentingan generasi ke generasi. Oleh hal yang demikian, institusi raja adalah kelebihan dan keunikan yang kita perlu sanjungi dan sayangi disamping menyematkan slogan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ dan ‘raja bertakhta,raja disembah’ di dalam jiwa kita.

ZAHIN


21 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page