Sedarkah kita isu membuli tidak hanya berlaku kepada kanak-kanak tetapi juga orang dewasa?
Realitinya bagi golongan dewasa yang bekerja, kejadian membuli boleh menghancurkan kerjaya, keluarga dan boleh juga membawa pada kecederaan mental dan jiwa seseorang.
Terdapat banyak kes buli terjadi, dan yang paling dahsyat ia melibatkan nyawa, dan membimbangkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke asrama mahupun ke sekolah harian biasa.
Apabila isu ini terjadi, maka ramailah yang akan menuding jari kepada pihak sekolah, terutamanya warden atau guru yang bertugas kerana tidak memantau pelajar.
Hakikatnya, isu ini perlu ditangani oleh semua pihak dengan lebih tegas dan serius agar ia tidak berulang lagi.
Bukan perkara biasa!
Namun begitu, apa yang perlu dilihat ialah faktor yang mendorong seseorang itu menjadi pembuli.
Sebagaimana kata Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria:
“Masyarakat perlu proaktif dengan kes buli atau dera dan tidak lagi beranggapan insiden ini sebagai perkara biasa, demikian pandangan.
“Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mendapati satu dari enam remaja terlibat menjadi mangsa buli dan lelaki lebih banyak terlibat dalam kes sebegini berbanding wanita.”
Pencegahan awal perlu dilakukan bagi membendung permasalahan ini, antaranya dengan memperbaiki mekanisme yang sedia ada dalam pelaporan, sokongan dan pencegahan bagi semua jenis buli sama ada menerusi fizikal atau secara dalam talian.
Peranan Ibu Bapa
Antara peranan ibu bapa dalam menangani polemik ini adalah memperkukuh institusi keluarga. Institusi keluarga merupakan institusi tertua di dunia yang perlu mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Ahli keluarga perlu memberikan didikan agama yang mencukupi untuk menangani masalah ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, agama merupakan benteng yang ampuh dan jitu. Dengan ini, ia dapat menghalang isu seperti ini berlaku. Agama akan melahirkan jati diri yang kukuh dan akhlak yang mulia jauh daripada perlakuan negatif dan tidak bermoral.
Pendidikan berbentuk agama juga penting kepada anak-anak agar mereka dapat berkelakuan baik dengan sesiapa sahaja.
Selain itu, ibubapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana, banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya.
Ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Di samping itu, teguran secara berhikmah juga wajar dilakukan kepada anak-anak yang berkelakuan negatif sejak kecil lagi .
Tindakan Tegas
Pihak berkuasa juga perlu melaksanakan tugas mereka dalam membendung isu buli ini daripada berlaku. Antaranya, menjelaskan hukuman-hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang melakukan kes buli ini dengan mengadakan kempen secara berterusan.
Selain itu, rakan-rakan di sekitar mereka yang membuli ini memainkan peranan penting bagi menangani isu ini.
Mereka perlulah segera bertindak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjadinya kes buli.
Masyarakat juga perlu cakna dengan isu ini agar tiada lagi berlakunya kes buli ini.
Kesejahteraan keluarga Malaysia perlulah diutamakan bagi membendung perkara negatif ini. Jika tidak, semua ini akan berterusan tanpa noktah.
Pengajaran
Jika dilihat terutama video yang tular melalui aplikasi Facebook dan WhatsApp, pembulinya pasti lebih daripada seorang.
Sikap ingin membuli ini kadangkala berlaku apabila seseorang itu melihat rakan melakukannya dan turut ingin mengulanginya. Ada juga didorong atau didesak rakan lain, sedangkan rakannya itu pun tidak membuli. Ini antara situasi dapat dilihat dan sering berlaku dalam kalangan pembuli.
Oleh itu, setiap ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam memastikan anak mereka tidak terbabit dalam gejala ini.
Masyarakat tidak seharusnya menganggap mereka sebagai pembuli. Sebaliknya mendoakan agar mereka sedar dan insaf atas kesalahan yang dilakukan, walaupun kadangkala perbuatan itu tidak boleh diterima akal dengan sifat yang dianggap tidak berperikemanusiaan.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain, kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik daripada yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek wanita lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diejek itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mengejek.”
Ayat ini jelas menunjukkan larangan kepada sifat tidak menghormati antara satu sama lain kerana kita tidak akan mendapat apa-apa manfaat daripada perbuatan itu.
Comments