“Kebenaran rentas negeri dibenarkan bagi individu yang telah lengkap dua dos vaksin”
Inilah kata-kata yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam ucapan beliau pada 10 Oktober yang lalu.
Kata-kata ini telah mengembalikan semula jiwa seluruh rakyat Malaysia yang telah ‘terkurung’ dalam Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara sejak April lalu. Mengimbau kembali jumlah angka kes Covid-19 yang telah mencecah puluhan ribu, inisiatif kerajaan untuk melaksanakan PKP adalah wajar sehinggalah kadar vaksinasi negara kini telah mencecah hampir 90%. Justeru, rakyat Malaysia kali ini tidak melepaskan peluang untuk kembali ke kampung halaman dan ke destinasi yang menjadi tempat percutian mereka. Hal ini sekaligus telah memberi sinar kepada sektor pelancongan di Malaysia.
Antara tempat-tempat yang menjadi tumpuan adalah pusat peranginan, kawasan tepi pantai dan bukanlah bandar-bandar sesak seperti Bandaraya Kuala Lumpur. Dengan percutian dan kelonggaran merentas negeri ini, sektor pelancongan sememangnya telah bersedia untuk menerima kunjungan dari rakyat Malaysia yang telah sekian lama menyimpan hasrat untuk sampai ke destinasi pelancongan tersebut.
Justeru, kami mengharapkan agar kelonggaran merentas negeri ini telah membuka peluang ekonomi kepada sektor pelancongan dan fasiliti yang disediakan di tempat-tempat tersebut adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mengekalkan jarak dan menyediakan peralatan bagi mencegah wabak Covid-19.
Tambahan, rakyat Malaysia juga perlu menjalankan kuarantin secara kendiri setelah pulang dari destinasi yang dituju sebagai langkah selamat untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak.
Dengan pemulihan ekonomi pelancongan selepas ini juga, ekonomi negara juga dapat berkembang dengan sebaiknya kerana rakyat Malaysia memilih tempat-tempat pelancongan yang berada di negara kita sendiri iaitu, Malaysia.
___________________________ Nukilan,
Nur Anisah binti Azman
Bendahari
Majlis Pimpinan Negeri
Rakan Siswa YADIM Melaka
Sesi 2021/2022
Comments