Saban hari, kita seringkali mendengar berita tentang masalah kesihatan mental yang dihadapi oleh golongan remaja. Semakin dunia menempuh arus permodenan, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh generasi muda kerana mereka terdedah dengan pelbagai desakan hidup. Berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir semua penyakit mental dihadapi oleh remaja seawal umur 14 tahun dan kebanyakkannya tidak dapat dikesan serta tidak mendapatkan rawatan pada peringkat awal. Justeru, remaja mestilah mengambil langkah yang proaktif bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam masalah kesihatan mental.
Salah satu proses yang boleh dilakukan adalah self-healing yang bermaksud proses penyembuhan diri. Proses ini sangat penting kerana remaja dapat membentuk pemikiran yang positif, memahami diri sendiri dan menerima segala kekurangan diri.
Perkara utama yang perlu dilakukan adalah menerima diri sendiri atau self acceptance. Kita mestilah luangkan masa sejenak untuk berfikir tentang diri sendiri serta menerima segala kebaikan dan kekurangan diri kita. Malah, kita mestilah memaafkan diri kita atas segala kesalahan dan kegagalan yang berlaku dalam diri kita. Cara ini akan menjadikan kita lebih kuat untuk mengharungi segala cabaran dan lebih yakin untuk menjadi diri sendiri.
Seterusnya, kita mestilah menggunakan masa seharian dengan sebaiknya. Janganlah kita melakukan perkara yang tidak berfaedah sebaliknya mengisi masa tersebut dengan perkara yang boleh menjadikan diri kita lebih baik. Aktiviti yang boleh dilakukan adalah beriadah dan menonton filem atau cerita yang boleh menghiburkan hati. Kita juga harus tidur dengan secukupnya untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan produktiviti. Justeru, aktiviti ini boleh mendatangkan emosi yang positif dalam diri kita dan menjadikan kita lebih bahagia.
Tidak dilupakan juga, kita hendaklah mengelakkan positif toksik kerana ia memberikan banyak impak negatif dalam diri. Apabila kita melontarkan sesuatu yang bersifat positif toksik ini, ia bukan sahaja menenangkan individu namun ia juga mendatang perasaan tidak puas hati. Kesannya, emosi individu tersebut akan terganggu dan mereka akan memalukan diri sendiri. Oleh itu, janganlah kita normalisasikan budaya positif toksik.
Kesimpulannya, janganlah kita memandang rendah dalam isu kesihatan mental ini kerana ia boleh menghancurkan diri kita. Sayangi diri sendiri supaya kita berasa yakin dan berfikiran positif pada setiap masa.
Comments